TenTAnG aKU

Tuesday, January 15, 2013

Pasukan lima bintang ditambat

Kota Bharu: Pertembungan dua pasukan ‘lima bintang’, Kelantan dan Johor Darul Takzim yang turut dianggap pertemuan Clash of The Titans di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi hanya berkesudahan seri 1-1.

Kelantan selaku tuan rumah mendahului pada minit ke-37 selepas rembatan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad dari luar kotak penalti merobek gawang lawan sebelum gol penyamaan Johor Darul Takzim diperoleh menerusi Daniel Guiza pada minit ke-63 menerusi sepakan percuma.

Bagaimanapun, ada insiden kurang menyenangkan apabila penyokong membaling mercun ke padang hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika.

Bermula babak pertama, kedua-dua pasukan beraksi garang dan ‘Pemain Paling Bernilai 2012’, Norshahrul Idlan Talaha yang amat dinanti-nantikan penyokong The Red Warriors (TRW) paling mendapat perhatian apabila disorak setiap kali menyentuh bola.
 Seawal minit keenam keadaan sudah menjadi tegang apabila berlaku pertengkaran antara pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim dengan penyerang Johor Darul Takzim, Safee Sali hingga terpaksa dileraikan Suhaimi.

Pelawat memperoleh peluang keemasan pada minit ke-15 apabila Safee melakukan sepakan gunting selepas menerima umpanan pemain import, Simone Del Nero namun percubaan itu ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tempo perlawanan bertambah rancak hingga pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin dilayang kad kuning kerana mengasari pemain sayap pelawat, Nurul Azwan Roya sekali gus memberikan sepakan percuma.
Pada minit ke- 37, Stadium Sultan Muhammad IV yang dipenuhi kira-kira 30,000 penyokong bergema meraikan gol pertama dijaringkan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Bermula babak kedua, Johor Darul Takzim memasukkan pemain import, Daniel Guiza bagi menggantikan Nurul Azwan Roya.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-56 menerusi tandukan Safee yang menerima hantaran lintang Guiza namun cubaannya tepat ke arah Khairul Fahmi.

Pasukan kendalian Bojan Hodak semakin bersemangat mengasak kubu lawan dan penyerang, Indraputra Mahyuddin hampir menjaringkan gol kedua Kelantan apabila percubaannya yang menuju penjuru kanan ditepis penjaga gol.

Bagaimanapun, pasukan pelawat dikendalikan Fandi Ahmad berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi sepakan percuma Guiza yang menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan penyamaan pelawat, Kelantan bangkit menggandakan asakan untuk melakukan beberapa percubaan namun gagal mencipta jaringan sehingga tamat perlawanan.

No comments:

Post a Comment