TenTAnG aKU

Wednesday, January 9, 2013

HariMaU SeLataN LonGlai


Kuala Lumpur: Pahang mencalar imej pasukan berbelanja besar musim ini, Johor Darul Takzim FC selepas mencipta kebangkitan dengan kemenangan 3-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darulmakmur malam tadi.
Ternyata reputasi hebat barisan serba bintang pasukan Harimau Selatan itu seakan tidak memberi sebarang makna biarpun mereka membariskan bintang Sepanyol, Daniel Guiza, kapten kebangsaan, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya untuk menggempur kubu Pahang.
 Beraksi di depan penyokong sendiri, Pahang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh hampir di depan selepas penyerang import dari Macedonia, Nikolce Kleckarovski menolak masuk bola ke gawang pasukan pelawat pada minit ke-10.
Namun jaringan itu tidak disahkan pengadil kerana dia terlebih dulu mengasari penjaga gol Darul Takzim, Muhammad Al-Hafiz Hamzah yang cuba menangkap bola hantaran jauh pemain Pahang.

Ketika pemain skuad Tok Gajah sibuk mempersoalkan keputusan pengadil itu, pasukan pelawat melancarkan serangan pantas menerusi Guiza yang melakukan hantaran dan berjaya ditanduk Safiq untuk menjadikan kedudukan 1-0.
 Guiza yang membantu Sepanyol juara Euro 2008 sekali lagi menjadi penggerak serangan Darul Takzim apabila melorongkan bola kepada penyerang kebangsaan, Norshahrul yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Nasril Nourdin pada minit ke-26.
Ketinggalan 0-2, Pahang bangkit memburu gol dan usaha mereka berhasil apabila penyerang berusia 24 tahun, Mohd Fauzi Roslan meledak gol pada minit ke-50.

Terancam dengan kedudukan itu, skuad Harimau Selatan yang dibimbing bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad cuba menambah jaringan namun Safiq mensia-siakan peluang di depan gol selepas sepakannya melambung tinggi selepas mendapat umpanan Guiza pada minit ke-65.
Amukan Tok Gajah gagal dibendung pasukan pelawat apabila Fauzi bijak melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan lencong ke penjuru gawang untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-72.

Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, pemain baru Pahang, R Surendran yang beraksi bersama Selangor sebelum ini memastikan tiga mata penuh apabila menjaringkan gol kemenangan dengan menolak masuk bola di depan gol selepas mendapat hantaran silang Mohd Faizol Hussien dari sebelah kiri.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09  Harian Metro

No comments:

Post a Comment