Kota Bharu: Pertembungan dua pasukan ‘lima bintang’, Kelantan dan
Johor Darul Takzim yang turut dianggap pertemuan Clash of The Titans di
Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi hanya berkesudahan seri 1-1.
Kelantan selaku tuan rumah mendahului pada minit ke-37 selepas
rembatan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad dari luar kotak penalti
merobek gawang lawan sebelum gol penyamaan Johor Darul Takzim diperoleh
menerusi Daniel Guiza pada minit ke-63 menerusi sepakan percuma.
Bagaimanapun,
ada insiden kurang menyenangkan apabila penyokong membaling mercun ke
padang hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika.
Pada masa sama pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan mencetus
kontroversi apabila menamatkan perlawanan lebih awal kerana sepatutnya
ada lagi beberapa minit waktu kecederaan hingga membuatkan pemain
terpinga-pinga.
Bermula babak pertama, kedua-dua pasukan
beraksi garang dan ‘Pemain Paling Bernilai 2012’, Norshahrul Idlan
Talaha yang amat dinanti-nantikan penyokong The Red Warriors (TRW)
paling mendapat perhatian apabila disorak setiap kali menyentuh bola.
Seawal
minit keenam keadaan sudah menjadi tegang apabila berlaku pertengkaran
antara pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim dengan penyerang
Johor Darul Takzim, Safee Sali hingga terpaksa dileraikan Suhaimi.
Pelawat memperoleh peluang keemasan pada minit ke-15 apabila Safee
melakukan sepakan gunting selepas menerima umpanan pemain import, Simone
Del Nero namun percubaan itu ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che
Mat.
Tempo perlawanan bertambah rancak hingga pemain
pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin dilayang kad kuning kerana
mengasari pemain sayap pelawat, Nurul Azwan Roya sekali gus memberikan
sepakan percuma.
Pada minit ke- 37, Stadium Sultan Muhammad IV yang dipenuhi kira-kira
30,000 penyokong bergema meraikan gol pertama dijaringkan penyerang,
Mohd Norfarhan Muhammad menerusi rembatan kencang dari luar kotak
penalti.
Bermula babak kedua, Johor Darul Takzim memasukkan pemain import, Daniel Guiza bagi menggantikan Nurul Azwan Roya.
Peluang
terbaik pelawat hadir pada minit ke-56 menerusi tandukan Safee yang
menerima hantaran lintang Guiza namun cubaannya tepat ke arah Khairul
Fahmi.
Pasukan kendalian Bojan Hodak semakin bersemangat
mengasak kubu lawan dan penyerang, Indraputra Mahyuddin hampir
menjaringkan gol kedua Kelantan apabila percubaannya yang menuju penjuru
kanan ditepis penjaga gol.
Bagaimanapun, pasukan pelawat
dikendalikan Fandi Ahmad berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63
menerusi sepakan percuma Guiza yang menewaskan Khairul Fahmi.
Tersentak
dengan jaringan penyamaan pelawat, Kelantan bangkit menggandakan asakan
untuk melakukan beberapa percubaan namun gagal mencipta jaringan
sehingga tamat perlawanan.